Enter content here
Enter content here
Enter content here
Teknologi bunuh budaya membaca?
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my
|
BUKAN sesuatu yang luar biasa apabila minat membaca di kalangan generasi uda semakin
merudum. |
Ada yang berkata kebanjiran teknologi moden seperti Internet, video dan televisyen menyebabkan remaja di seluruh dunia malas membaca.
Peperangan di antara keperluan akademik dan kemasyarakatan menyebabkan wujud kecelaruan sehingga masyarakat seluruh dunia terutama generasi muda enggan menjadikan amalan membaca cara hidup.
Pakar pendidikan juga buntu mencari penyelesaian untuk merangsang masyarakat supaya minat membaca tetapi hasilnya masih mengecewakan.
National Education Association (NEA) yang bertanggungjawab menjalankan pelbagai kajian terhadap kepentingan pendidikan di seluruh dunia, berpendapat 'peperangan' atau kecelaruan itu wajar dihentikan segera bagi memberi peluang masyarakat membina semula sistem budaya mereka.
Menurutnya, jika semua pihak sentiasa berbalah, hasrat mencetuskan minat membaca akan gagal.
"Pelik apabila perbalahan itu terjadi kerana sesuatu punca yang baik. Sepatutnya ia mendapat sokongan bukannya semakin menambahkan konflik.
"Jurang yang pada mulanya kecil menjadi besar kerana masing- masing cuba menegakkan pendapat sedangkan membaca satu keperluan bukan paksaan.
"Perbalahan itu wajar dihentikan kerana ia akan 'membunuh' minat yang sudah atau baru tumbuh," katanya.
Kajian NEA mendapati hanya 17,000 kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas di Amerika Syarikat benar-benar minat membaca sepanjang tempoh 20 tahun sejak 1982.
Itupun terhad kepada bahan seperti novel, cerita pendek dan sajak. Bahan ilmiah berbentuk serius dan berat kurang mendapat perhatian dan jatuh 28 peratus dalam tempoh itu.
Kajian itu turut mendedahkan hanya 57 peratus penduduk di negara maju minat membaca.
Baki yang tidak berminat terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan terpinggir, berpendapatan rendah dan sudah berusia.
Kajian itu turut mendapati setiap tahun, kejatuhan sebanyak empat peratus di kalangan pembaca di negara maju dan senario itu semakin membimbangkan berikutan tiada peningkatan peratusan bagi pembaca baru.
Pengerusi NEA, Dana Gioia, berkata sesiapa yang sukakan sastera atau menimbangkan nilai budaya dan intelektual pasti bimbang dengan situasi ini kerana bahan bacaan bercetak sudah tidak mendapat tempat di hati masyarakat.
Menurutnya, kebanyakannya beralih kepada hobi menonton televisyen, Internet dan pelbagai permainan video berbanding membaca bahan bacaan bermutu walaupun untuk tempoh yang singkat.
"Ini natijahnya apabila teknologi mula menguasai dunia.
Namun, menyalahkan teknologi bukan penyelesaian kerana kita perlu bersedia menerima perubahan dunia.
"Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk suka membaca, ia harus datang sendiri dan ikhlas. Ramai pihak keliru kerana beranggapan membaca sesuatu yang wajib dilakukan sedangkan tabiat itu bukan paksaan.
"Siapa, bagaimana bentuk bacaan atau tujuannya tidak penting sebaliknya kesedaran dan keinginan membaca itu perlu ditekankan," katanya.
"Transaksi ilmu bukan berlaku dalam tempoh yang lama.
Justeru, jika tiada usaha untuk menambah pengetahuan, ia akan terhenti dan menyumbang kepada kegagalan.
"Kesannya, bukan saja ditanggung satu generasi malah berterusan melainkan ada perubahan kepada generasi berikutnya.
"Bayangkan apa yang bakal berlaku jika generasi berkenaan terus leka, tidak mahu menambah ilmu atau tiada ruang menambah pengetahuan," katanya.
Kebimbangan itu turut melanda golongan cendekiawan terutama kecenderungan membaca bahan bacaan kurang bermutu.
Profesor di Bennington College and New York University, David Lehman, berkata masyarakat harus membuka minda dan melihat kepentingan membaca sebagai menu utama kehidupan.
Menurutnya, tanpa bahan bacaan bermutu, budaya atau warisan sesebuah masyarakat akan terasing dan segala usaha termasuk pengajian ilmu di sekolah hanya membuang masa.
"Membaca dapat membantu seseorang melihat dunia dan kehidupan secara keseluruhan dan memahami keinginan masyarakat luar.
"Masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau kedudukan perlu menggunakan peluang itu menambah pengetahuan dan meningkatkan harga diri," katanya.
Bagi penyunting buku kanakkanak, Leonard Marcus, kaedah memupuk minat membaca perlu diubah kepada cara lebih menarik dan tidak membosankan.
"Ramai di kalangan pelajar menganggap membaca sesuatu yang membosankan kerana hanya tertumpu kepada konsep pemahaman, mengingati jalan cerita dan susunan ayat.
"Bagi golongan muda, mereka mahu bahan bacaan bertenaga, penuh ilustrasi dan mampu memberi kepuasan.
"Bagi mempertingkatkan minat golongan dewasa, anjakan sama perlu dilakukan kerana bacaan sarat dan berbelit kini kurang mendapat perhatian," katanya.