Enter content here



Enter content here



Enter content here



Kegagalan bukan penamatOleh Fauzi Rahim Mustafa
fauzee@hmetro.com.my


 

LUMRAH alam persekolahan, setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan pasti ada yang berjaya dan gagal. Bagi yang cemerlang, mereka boleh mengatur langkah memajukan diri tetapi bagaimana jika kecundang?

Kegagalan sukar diterima dan mengecewakan terutama bagi pelajar bercita-cita tinggi. Bagaimanapun, kegagalan itu bukanlah penamat masa depan sebaliknya mengajar seseorang memperbaiki kelemahan diri.


Memang sukar menerima kegagalan dan menjadi sesuatu yang positif. Diri, fizikal dan mental perlu kuat. Kegagalan boleh menjadi sesuatu yang manis untuk masa depan jika diterima dengan terbuka.

Bagaimana? Dengan kegagalan itu, kita boleh bermuhasabah mengenai kekurangan diri mahupun usaha sudah dilakukan. Mungkin terlupa meneguhkan sesuatu aspek yang memerlukan suntikan dan usaha berganda.

Saya percaya, jika mampu mengatasinya, bukan saja pelajar namun sesiapa saja boleh menikmati kejayaan.

Justeru, pelajar jangan berputus asa. Cuba buang rasa sedih, rendah diri dan malu kerana ia menjadikan seseorang itu semakin lemah.

Secara tidak langsung, ia bakal mewujudkan konflik dan menggagalkan usaha diri mengecapi kejayaan. Ambil pendekatan menghiburkan diri sendiri atau menenangkan minda dengan bersukan, melancong atau mendekatkan diri kepada-Nya.

Perlu diingat, mengukuh dan menguatkan emosi dalaman sangat penting sebelum mengorak langkah seterusnya kerana jika rapuh, anda tidak akan pergi jauh.

Proses pemantapan mengambil masa dan apabila sudah berjaya, mudah 'mendidik' diri agar menerima kegagalan dengan lebih terbuka.

Kuatkan keazaman dan sentiasa berkata "saya juga mampu berjaya seperti orang lain jika sentiasa berusaha".

Untuk berjaya, ujian dan ranjau tidak boleh dielakkan. Justeru, jangan patah semangat sebaliknya anggap sebagai guru dan pembelajaran terbaik yang tidak mungkin boleh didapati di sekolah.

Malangnya, ramai yang kecundang serta mengambil jalan mudah memusnahkan diri dan masa depan. Antaranya terjebak dalam penyalahgunaan dadah atau terbabit dengan gejala sosial.

Nasihat saya, jangan memusnahkan diri diri sendiri kerana ia akan memalukan ibu bapa atau menjatuhkan maruah diri.

Ibu bapa perlu memberi dorongan kepada anak yang gagal. Jangan sisihkan atau menganggap mereka tiada masa depan.

Saya faham, tiada ibu bapa mahu melihat kegagalan, namun janganlah menambah beban sedia ada kerana anak-anak memerlukan mereka sebagai penasihat.

Mereka yang gagal seharusnya dibantu bukan dicela mahupun diketepikan.

Justeru, semua pihak perlu sentiasa peka dan pandai melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ibu bapa menerimanya dengan hati terbuka, guru pula sentiasa memberi semangat.

Bagi yang gagal, berazam memperbaiki diri dan membuktikan kegagalan bukanlah halangan mencipta kejayaan seterusnya.

Saya yakin, kejayaan boleh dicapai daripada kegagalan kerana ia tentu lebih manis dan istimewa.